Pepatah ada mengatakan, “Bahasa Jiwa Bangsa”. Begitu indahnya perumpamaan ini. Bangsa Melayu adalah satu bangsa yang begitu kaya dengan peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan, pepatah, puisi dan sebagainya. Jika kita lihat, semua peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan, pepatah mahupun puisi lama dan juga moden dibina menggunakan unsur-unsur alam semulajadi, contohnya tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, binatang dan sebagainya. Inilah yang menjadikan semua perkara di atas menjadi sesuatu perkataan yang sedap didengar oleh semua orang. Unsur kelembutan yang ada pada masyarakat Melayu telah diserapkan ke dalam penggunaan semua perkara tadi bertujuan untuk mempamerkan keistimewaan masyarakat Melayu.
Seperti yang kita tahu, kebanyakan simpulan bahasa, peribahasa, perumpamaan mahupun bidalan digunakan untuk menyampaikan maksud tersirat dan tersurat tanpa menyinggung mana-mana pihak dengan menggunakan bahasa yang halus, lemah-lembut dan sopan. Inilah kelebihan yang dapat kita lihat pada semua simpulan bahasa, peribahasa, perumpamaan dan juga bidalan. Sekiranya kita menggunakan bahasa yang kasar, sudah pasti ada pihak yang akan tersinggung dan berasa kecil hati. Inilah kegunaan simpulan bahasa, peribahasa, perumpamaan dan bidalan.
SIMPULAN BAHASA
Simpulan bahasa adalah kata-kata ringkas atau rangkaian perkataan yang dirumuskan dalam susunan tertentu yang membawa maksud tertentu. Maksudnya terdapat daripada apa yang tersirat atau tersembunyi bukan daripada yang tersurat atau nyata. Ringkasnya, erti simpulan bahasa berlainan daripada perkataan yang digunakan.
Jenis
- Simpulan bahasa yang mempunyai dua makna. Contohnya:
(a) ada angin:
· mempunyai kemahuan atau keinginan untuk mendapatkan sesuatu.
· sikap atau perasaan seseorang yang suka meninggi diri.
(b) anak buah:
· orang yang berada di bawah pengawasan seseorang ketua seperti ketua pejabat atau penghulu.
· anak saudara.
(c) langgar bahasa:
· bercakap dengan menggunakan bahasa yang kasar.
· tingkah laku atau kelakuan yang tidak sopan atau melanggar adat.
2. Simpulan bahasa yang berlainan tetapi mempunyai makna yang sama. Contohnya:
Seseorang yang tidak mempunyai perasaan malu.
muka talam, muka tebal, dan muka tembok.
Seseorang yang sudah lanjut usianya tetapi perangai tidak senonoh atau jahat.
tua keladi, tua kutuk, dan tua lengkuas
Bentuk atau ciri
1. Terbentuk daripada penggunaan kata nama am. Contohnya:
anak buah, buah tangan, dan lipas kudung.
Anak, buah, dan lipas masing-masingnya sebagai kata nama am.
2. Terbentuk daripada penggunaan kata kerja. Contohnya:
ajak-ajak ayam, buat bodoh, dan pasang telinga.
Ajak, buat, dan pasang masing-masingnya sebagai kata kerja.
3. Terbentuk daripada penggunaan kata adjektif. Contohnya:
besar kepala, bodoh sepat, dan kecil hati.
Besar, bodoh, dan kecil masing-masingnya sebagai kata adjektif.
4. Terbentuk daripada penggunaan kata nama khas. Contohnya:
Abu Jahal, Mat Jenin, dan Pak Kaduk.
Semua ini sebagai kata nama khas.
5. Terbentuk daripada nilai kepercayaan. Contohnya:
air pinang, batu buyung, dan makan bulan.
Semua ini ada kaitan dengan kepercayaan orang Melayu.
6. Berikut adalah senarai simpulan bahasa dengan maksudnya beserta dengan ayat contohnya.
Simpulan bahasa dan maksudnya | Ayat contoh |
Ada angin - berkelakuan luar biasa pada suatu ketika | Kita harus berhati-hati apabila bergurau dengan orang yang ada angin seperti dia. |
Ada bakat - mempunyai tokoh atau perwatakan | Adira ada bakat untuk menjadi pemidato yang baik. |
Ada hati - mempunyai keinginan yang melebihi kemampuan untuk melakukan atau memiliki sesuatu | Zira ada hati untuk makan di restoran mewah itu walaupun kekurangan wang. |
Alas perut - makanan yang dimakan untuk sementara waktu sebelum memakan makanan yang mengenyangkan | “Makanlah bubur ini sebagai alas perut sebelum keluar,” kata emak. |
Anak angkat - anak orang lain yang dipelihara sebagai anak sendiri | Walaupun Amarjit Kaur anak angkat, dia dilayan sama rata oleh keluarga Encik David. |
Anak emas - anak yang disayangi oleh ibu bapa atau ketuanya | Oleh sebab dia tekun bekerja, Ali menjadi anak emas majikannya. |
Angkat kaki - meninggalkan sesuatu tempat kerana sesuatu sebab | Apabila disindir oleh Amir, Razak terus angkat kaki dan berlalu dari situ. |
Atas angin - Negara-negara di sebelah barat | Encik Dylan berasal dari negara atas angin. |
Atas pagar - Tidak menyebelahi mana-mana pihak | Siew Ling mengambil sikap atas pagar dalam menyelesaikan masalah antara Mazni dengan Shanti. |
Ayam tambatan - Orang yang menjadi harapan dalam sesuatu pertandingan | Datuk Nicol Ann David merupakan ayam tambatan dalam skuad skuasy Negara. |
Banyak mulut - Orang yang banyak bercakap | Sikap banyak mulut Zalila tidak disukai oleh kawan-kawannya. |
Batu api - Orang yang suka menghasut | Kamal dan Tan tidak bertegur sapa kerana ada batu api yang merosakkan persahabatan mereka. |
Bau-bau bacang - Tali persaudaraan yang jauh | Selain berkawan baik, saya dan Hidayat ada bau-bau bacang juga. |
Bawah angin - Negara-negara di sebelah timur | SebagaiPegawai Tadbir Diplomatik, Encik Darma dihantar ke Negara-negara bawah angina untuk menjalankan tugasnya. |
Bekas tangan - Hasil kerja tangan seseorang | Bekas tangan orang kurang upaya itu dipasarkan hingga ke luar Negara. |
Berat mulut - Pendiam atau tidak suka bercakap banyak | Walaupun Sari seorang yang berat mulut, tetapi dia baik hati. |
Berat sebelah - Tidak berlaku adil | Jangan sesekali bersikap berat sebelah terhadap anak-anak. |
Berat tulang - Orang yang malas bekerja | Zaid dimarahi ibunya kerana sikapnya yang berat tulang. |
Berbelah bagi - Sukar untuk membuat keputusan | Perasaan Nordin berbelah bagi sama ada mahu bekerja di Bandar ataupun tidak kerana ibunya tinggal sendirian. |
Bergolok-bergadai - Mengeluarkan perbelanjaan di luar kemampuan | Encik Jamal sanggup bergolok-bergadai untuk menghantar anaknya belajar di luar Negara. |
Bermuka dua - Tidak jujur | Kita perlu berhati-hati kerana banyak orang yang bermuka dua dalam dunia ini. |
Bertikam lidah - Bertengkar / berdebat | Mereka sering bertikam lidah kerana tidak sependapat dalam banyak hal. |
Besar kepala - Degil ; sukar menerima pandangan orang lain | Sejak dilantik menjadi ketua, Sani mula besar kepala dan bertindak melulu. |
Buah tangan - Hadiah yang dibawa ketika melawat seseorang | “Bawalah buah tangan apabila melawat Asrul di hospital nanti,” kata Rajan. (gmbar ) |
Bulat hati - Bersungguh-sungguh ketika membuat sesuatu / bertindak nekad | Mereka bulat hati untuk menyertai ekspidisi berkayak itu. |
Buruk siku - Mengambil balik sesuatu yang telah diberikan kepada orang lain. | Perangai buruk siku tidak harus diamalkan sekiranya kita mahu disenangi orang ramai. |
Cahaya mata - Anak | Encik Firdaus dan Puan Rohana mempunyai empat orang cahaya mata. |
Cakar ayam - Tulisan yang buruk. | Tulisan Nora yang cakar ayam itu sukar dibaca. |
Campur tangan - Turut serta atau mencampuri urusan orang lain | Saya tidak mahu campur tangan dalam hal peribadinya. |
Cepat tangan - Suka mencuri | Dia dibenci oleh rakan-rakannya kerana perangai cepat tangannya itu. |
Dalam tangan - Sudah pasti akan diperoleh | Kami yakin bahawa kemenangan itu sudah berada dalam tangan psukan kami. |
Durin runtuh - Keuntungan yang diperoleh dengan tidak disangka-sangka | Dia menerima durian runtuh itu dengan penuh kesyukuran. |
Gaji buta - Mendapat gaji atau upah tanpa perlu bersusah payah atau bekerja bersungguh-sungguh. | Lai Meng sering ponteng kerja dan hanya menerima gaji buta. |
Gelap mata - Hilang pertimbangan kerana terpengaruh oleh wang atau harta | Wang yang banyak itu telah menyebabkan kerani itu gelap mata. |
Harga diri - Maruah atau kehormatan seseorang | Kita hendaklah sentiasa menjaga harga diri masing-masing. |
Harga mati - Harga tetap yang tidak dapat ditawar lagi | Harga kereta itu adalah harga mati. |
Hati batu - Degil atau keras hati | Orang yang berhati batu itu memang tidak mahu mengalah. |
Hidung tinggi - Sombong atau tinggi diri | Deva bersikap hidung tinggi kerana keluarganya kaya dan terkenal. |
Hilang akal - Tidak tahu apa-apa yang perlu dibuat / hilang pertimbangan diri | Banyak pelabur yang hilang akal apabila pasaran sahan jatuh dengan teruknya. |
Ikat perut - Menahan lapar kerana berjimat | Kerana kesempitan hidup, mereeka terpaksa ikat perut. |
Iri hati - Menyimpan perasaan dengki atau cemburu | Jauhilah perasaan iri hati terhadap kejayaan orang lain. |
Isi hati - Perasaan dalam hati | Saya bimbang untuk meluahkan isi hati saya terhadapnya. |
Jalan buntu - Tidak ada jalan penyelesaiannya | Mesyuarat itu ditangguhkan kerana menemui jalan buntu. |
Kacang hantu - Orang yang jahat dan suka mengganggu orang lain | Emak melarang Lily berkawan dengan Jimmy kerana dia kacang hantu. |
Kaki ayam - Tidak berkasut atau selipar | Kumar hanya berkaki ayam kerana kasutnya kecurian. |
Kaki bangku - Tidak berkebolehan bermain bola sepak | Ramesh tidak menyertai pasukan bola sepak sekolah kerana dia kaki bangku. |
Kecil hati - Berasa tersinggung atau merajuk | Rosida berasa kecil hati apabila tidak diundang ke majlis hari jadi Mei Lin. |
Kepala angin - Perangai yang tidak menentu | Urusan itu menjadi amat sukar kerana pengurusnya kepala angin. |
Kepala batu - Degil dan tidak mendengar nasihat | Budak itu kepala batu. Nasihatku tidak diendahkannya langsung. |
Kera sumbang - Orang yang tidak suka bergaul dengan orang lain. | Faizal digelar kera sumbang kerana sikapnya yang suka bersendirian. |
Khabar angin - Berita yang belum tentu benarnya | Pelucutan jawatan beliau sebagai pengarah syarikat hanyalah khabar angin sahaja. |
Langkah kanan - Bernasib baik | Kedatangan saya ke rumah Pak Long langkah kanan kerana beliau mengadakan kenduri kesyukuran. |
Langkah seribu - Cepat-cepat lari kerana ketakutan | Samad membuka langkah seribu apabila dikejar oleh anjing. |
Lidah bercabang - Kata-kata yang tidak dapat dipercayai | Jangan cepat percaya akan kata-katanya kerana dia lidah bercabang. |
Lintah darat - Mengambil keuntungan berlebihan atas pinjaman yang diberikan | Jangan sesekali kamu meminjam wang daripada lintah darat itu. |
Lipas kudung - Pantas lagi cekap membuat kerja | Mak The menenun songket itu seperti lipas kudung. |
Makan angin - Bersiar-siar untuk berehat | Logan dan keluarganya makan angin di Pulau Perhentian. |
Makan suap - Menerima rasuah | Pegawai yang makan suap itu telah pun ditangkap. |
Malu-malu kucing - Berpura-pura malu di hadapan orang | “Makanla kuih itu, janganlah malu-malu kucing,” kata Ramli kepada Atan. |
Mandi peluh - Bekerja kuat | Setelah bermandi peluh, akhirnya tugasan itu dapat juga disiapkannya. |
Membabi buta - Melakukan sesuatu tanpa berfikir | Kerja yang membabi buta tidak akan memberikan hasil yang baik. |
Membawa diri - Tahu menjaga diri | “Pandai-pandailah membawa diri apabila berada di Kuala Lumpur”, kata ayah. |
Membuka tembelang - Menceritakan keburukan seseorang kepada orang lain | Jangan suka membuka tembelang orang lain. |
Memeras otak - Terlalu kuat berfikir atau belajar | Rusdi memeras otak untuk menjawab soalan teka-teki itu. |
Menarik diri - Tidak turut serta / meletak jawatan | Nurul Huda menarik diri daripada pertandingan itu kerana masalah kesihatan. |
Mencari jalan - Berusaha untuk melakukan sesuatu | Marimuthu sentiasa mencari jalan untuk menambahkan pendapatannya. |
Mencuci mata - Gembira memperhatikan sesuatu yang indah | Kami tidak puas mencuci mata ketika berkelah di pantai itu. |
Mengadu domba - Memperlagakan seseorang untuk memecahbelahkan persahabatan dan sebagainya | Sikap suka mengadu domba adalah sikap yang keji. |
Mengambil berat - Memberikan sepenuh perhatian | Encik Yusri mengambil berat terhadap kebajikan pekerja-pekerjanya. |
Mengambil hati - Dapat memikat atau mempengaruhi | Suzila disenangi ramai kerana dia pandai mengambil hati rakan-rakan disekelilingnya. |
Mengasah bakat - Latihan untuk mengembangkan bakat | Dia berpeluang mengasah bakat dalam bidang lakonan melalui kursus lakonan itu. |
Muka tembok - Tidak berasa malu | Radhi yang muka tembok itu selamba sahaja apabil dirotan di depan perhimpunan kerana ponteng sekolah. |
Mulut murai - Kuat bercakap / berbuat bising | Noni digelar mulut murai kerana suka bercakap. |
Mulut tempayan - Tidak dapat / tidak boleh menyimpan rahsia | Perkara ini hendaklah dirahsiakan dariapda Fei Fong kerana dia mulut tempayan. |
Murah hati - Suka berderma / tidak kedekut | Dermawan yang murah hati itu tidak lupa menghulurkan bantuan kepada anak-anak yatim. |
Naik angin - Terlalu marah | Ayah naik angin apabila adik tidak mendengar nasihatnya. |
Nyawa-nyawa ikan - Hampir-hampir mati | Lembu yang dilanggar oleh lori itu tinggal nyawa-nyawa ikan. |
Orang atasan - Orang yang berpangkat tinggi | Arahan itu diterima daripada orang atasan. |
Otak cair - Pintar atau bijak | Fikri otak cair. Dia mudah memahami pelajaran yang diajar oleh guru. |
Otak kering - Kurang siuman | Jangan ditegur kelakuannya kerana dia otak kering. |
Otak udang - Bebal atau bodoh | Dia masih belum faham walaupun diajar beberapa kali. Memang dia otak udang. |
Paku belanda - Barangan yang tetap harganya | Harga pakaian di kedai itu paku belanda; sia-sia saja kita menawarnya. |
Panas hati - Meradang atau marah | Osman panas hati akan kelakuan adiknya. |
Panjang tangan - Suka mencuri | Sazali tidak disukai oleh kawan-kawannya kerana sikap panjang tangannya itu. |
Pasang telinga - Mendengar dengan teliti | “Murid-murid, pasang telinga masing-masing dan fahami apa-apa yang akan saya perkatakan,” kata guru itu. |
Pekak badak - Kurang jelas pendengarannya; tidak dapat mendengar bunyi yang kuat | Tak guna bercakap kuat dengan orang itu kerana dia pekak badak. |
Pembasuh mulut - Makanan atau minuman yang dihidangkan selepas makan nasi | Puan Hamidah menghidangkan agar-agar sebagai pembasuh mulut. |
Perang mulut - Pertengkaran | Perang mulut antara Devi dengan Rani itu berakhir selepas dinasihati oleh Cikgu Farah. |
Pilih kasih - Memberi layanan yang lebih kepada orang yang disukai | Sikap pilih kasih jurulatih itu tidak digemari oleh para pemain. |
Pisau cukur - Perempuan yang suka menghabiskan harta benda lelaki | Perempuan pisau cukur itu akhirnya ditinggalkan oleh teman lelakinya. |
Puteri lilin - Tidak tahan terkena panas | Eloklah kamu berteduh kerana kamu semua puteri lilin. |
Putih hati - Ikhlas / jujur | Kami memberi anda sumbangan ini dengan putih hati. |
Putih mata - Mengalami kekecewaan | Mazlan putih mata apabila gagal dalam pertandingan tersebut. |
Rabun ayam - Penglihatan yang kurang jelas | Abang memakai cermin mata kerana dia rabun ayam. |
Rambang mata - Sukar membuat pilihan | Kamisah rambang mata melihat barang-barang perhiasan yang dijual di kedai itu. |
Ringan tangan - Cepat membuat kerja / suka menolong orang | Sikap ringan tangan Zaharah amat disenangi oleh ibu bapanya. |
Sampai hati - Tergamak melakukan sesuatu kerja | Saya tidak sampai hati hendak memberitahunya tentang hal itu. |
Serkap jarang - Membuat tuduhan secara teragak-agak atau tanpa usul periksa | Jawapan murid itu salah kerana dia main serkap jarang sahaja. |
Tangan terbuka - Menyambut sesuatu dengan senang hati | Niatnya untuk berdamai itu kami sambut dengan tangan terbuka. |
Tangkai jering - Orang yang kedekut | Encik Ramu tidak akan memberikan apa-apa sumbangan kerana dia tangkai jering. |
Tawar hati - Tidak mempunyai minat lagi | Ah Meng tawar hati untuk meneruskan pelajarannya kerana masalah kewangan yang dihadapinya. |
Tebal muka - Tidak tahu malu | Walaupun tidak diundang, Rahim tetap datang ke majlis itu. Dia memang tebal muka. |
Telinga kuali - Tahan hati menerima kemarahan | Murni tidak menghiraukan kemarahan kakaknya kerana dia telinga kuali. |
Telinga lintah - Tajam pendengaran | Azren sedar bahawa ada orang di luar biliknya kerana dia telinga lintah. |
Telinga nipis - Cepat marah atau meradang | Berhati-hatilah apabila bergurau dengan Seng Choi kerana dia telinga nipis. |
Terang hati - Mudah memahami sesuatu | Rajan mahir bertutur bahasa Perancis walaupun baru mempelajarinya kerana dia terang hati. |
Tidur-tidur ayam - Tidur yang tidak nyenyak | Ayah tidur-tidur ayam dulu sementara menanti hari siang. |
Tin kosong - Bercakap besar tanpa ilmu | Percakapannya hanyalah tin kosong sahaja. |
Titik peluh - Hasil usaha yang bersungguh-sungguh | Rajamani gembira kerana dapat membeli sebuah kereta itu dengan titik peluhnya sendiri. |
Pigeon Hotels and Casinos - MapYRO
ReplyDeleteFind the best Pigeon hotels and casinos in New York, Pennsylvania 계룡 출장샵 and more. 안동 출장샵 Make 여수 출장마사지 your 원주 출장안마 reservations now and start seeing 광명 출장샵 the best.